GOPENG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak Sabtu minggu lalu dihentikan secara rasmi pada pukul 1 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pasukan SAR tidak menemui petunjuk baharu dalam pencarian mangsa selepas tujuh hari operasi dijalankan.
“Operasi SAR bagi mencari mangsa merangkumi radius 35 kilometer (km) persegi melibatkan 16 lokasi darat termasuk Bukit Batu Puteh, Bukit Rateh, Gunung Chante, Gua Kandhu dan Taman Rekreasi Gua Tempurung serta laluan di air sepanjang 30km dari Kuala Razila ke Sungai Kinta.
“Pasukan SAR telah menggunakan pelbagai teknik mencari mangsa termasuk menyusuri anak sungai, pencarian di kaki bukit, pergerakan berkumpulan, menggunakan anjing pengesan dan dron pengesan logam. Bagaimanapun, kami masih belum berjaya menjumpai mangsa dan kami akan tutup operasi SAR secara rasmi pada pukul 1 tengah hari ini (semalam),” katanya pada sidang akhbar di Dewan Orang Ramai, Kampung Pintu Padang di sini semalam.
Hasron Nazri yang juga merupakan Komander Operasi berkata, pihaknya akan mengaktifkan semula operasi ini sekiranya menerima maklumat dan petunjuk baharu berkaitan mangsa.
Bagaimanapun, penganjur GUT 2019 semalam berjanji akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat Mohammad Ashraf.
Ketua Bahagian Teknikal Perlumbaan, Nik Khairul Amri Nik Hassan, 34, berkata, operasi SAR itu akan diteruskan kira-kira tiga hari lagi.
“Operasi ini kami lakukan atas inisiatif sendiri dan rasa tanggungjawab kami terhadap peserta GUT 2019 walaupun pihak berkuasa telah menjalankan operasi SAR secara menyeluruh.
“Kami dengan bantuan sukarelawan daripada persatuan-persatuan pendaki termasuk Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar) dan Malim Gunung serta orang awam dan rakan-rakan mangsa seramai kira-kira 80 orang akan meneruskan usaha mencari,” katanya ketika ditemui di Gua Tempurung di sini semalam.
Tambah Nik Khairul Amri, ia merupakan pengalaman pertama pihaknya sejak perlumbaan lasak itu dianjurkan tiga tahun lalu.
Dalam kejadian Sabtu minggu lalu, Mohammad Ashraf yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25km disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas dalam pertandingan itu.
Antara agensi yang terlibat dalam operasi SAR itu termasuk PDRM, JBPM Perak, Unit Anjing Pengesan JBPM, Unit Pemusnah Bom PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan AM (PGA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Rejimen Renjer Diraja Malaysia, Jabatan Hutan, Jabatan Penerangan serta Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).
Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa yang tiada ketika pusat operasi ditutup tengah hari semalam gagal dihubungi.











