SAUDARA PENGARANG,
SAYA adalah antara ribuan pengguna penerbangan tambang murah AirAsia. Buat masa ini keliru dengan keadaan semasa di India dan Pakistan. Untuk pengetahuan, saya dan suami membeli tiket ke Jaipur, India dan dijadualkan terbang pada minggu depan. Keadaan perang yang meletus antara negara berkenaan dan Pakistan membuatkan saya bimbang mengenai tahap keselamatan di sana. Justeru, saya dan suami pergi ke pejabat AirAsia di Skypark, Subang pada 28 Februari lalu bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini.
Walau bagaimanapun, mengecewakan sekali apabila dimaklumkan tiket kami tidak boleh dibatalkan. Sekiranya saya ingin menukar tarikh lain, perlu bayar denda RM300 seorang bagi perjalanan sehala ditambah harga tiket baharu. Bayangkan kos yang terpaksa ditanggung walaupun bukan atas kerelaan kami untuk membatalkannya.
Kata staf itu lagi, selagi tidak dapat kenyataan daripada kerajaan, mereka tidak boleh berbuat apa-apa dan dimaklumkan penerbangan ke India berjalan seperti biasa.
Dalam hal ini, saya nampak AirAsia tidak prihatin langsung dan sengaja membiarkan pelanggan menanggung masalah bersendirian. Walaupun sudah saya nyatakan yang Wisma Putra menyatakan larangan dan menasihati orang ramai menangguhkan sebarang perjalanan ke sana tetapi staf terbabit tetap berkeras.
Saya berharap AirAsia tidak hanya mengira keuntungan semata-mata.
PENUMPANG KECEWA
Shah Alam











