Kecederaan teruk, mayat sukar dikenalpasti  - Utusan Malaysia

Kecederaan teruk, mayat sukar dikenalpasti 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Mac – Proses pengecaman mayat mangsa tembakan rambang di Christchurch, New Zealand, semalam mengambil masa lama kerana ada sebahagian mayat tidak dapat dikenal pasti berikutan kecederaan teruk kesan tembakan di muka.

Berkongsi pandangan peribadi, Pegawai Perubatan di Hospital Christchurch yang juga merupakan rakyat Malaysia, Mohamad Firdaus berkata, kelewatan ini berlaku mungkin kerana pakar memerlukan masa untuk membuat pengecaman mayat.

“Sebagai contoh jika 45 mayat sudah dikenal pasti dan lagi empat masih diragui, pakar tidak boleh sewenang-wenangnya membuat pengecaman mayat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Boleh jadi mayat yang ditandakan dengan nombor 28 dan mayat bernombor 35 tertukar identiti kerana nama dan warna kulit sama.

“Juga boleh jadi ada 20 orang bernama Ahmad, 30 bernama Muhammad, 13 menggunakan nama Ali,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

Tambah Mohamad Firdaus, kesemua proses perlu dilakukan mengikut undang-undang dan dijalankan setelah semua urusan selesai baharu senarai nama mangsa boleh dikeluarkan.

“Untuk mayat yang belum dikenal pasti, ujian lanjut perlu dijalankan antaranya ujian darah dan ujian Asid deoksiribonukleik (DNA).

“Untuk melakukan ujian DNA, pakar memerlukan DNA ahli keluarga mangsa. Ada antara mangsa datang ke New Zealand seorang diri dan memakan masa untuk dapatkan DNA ahli keluarga dan semua proses memakan masa,” katanya.

Katanya lagi, beberapa pihak antaranya ketua masyarakat, imam, polis telah mengadakan perbincangan tertutup dan menyalurkan maklumat kepada keluarga mangsa.

“Mangsa yang terkorban 49 orang namun polis masih belum dapat mengeluarkan senarai nama penuh kerana ada mayat belum dikenal pasti.

“Seperti dijangka ada sesetengah keluarga tidak dapat menerima berita ini. Mereka letih, kecewa dan ada yang masih berharap ahli keluarga yang hilang masih hidup,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini