SIBU, 22 Mac – Seramai 73 orang daripada sembilan keluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka terbakar di Jalan Isau, Kampung Baharu di sini hari ini.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sibu berkata, empat buah rumah ranap 100 peratus manakala tiga rumah lagi musnah antara 70 dan 80 peratus.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.07 tengah hari ketika penduduk sedang bersiap-siap untuk ke Masjid An Nur yang terletak kira-kira 400 meter dari situ untuk menunaikan solat Jumaat.
“Kami menerima laporan kejadian pada pukul 12.11 tengah hari lalu sebelum satu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu tiba di lokasi,” katanya.
Menurutnya, operasi memadam kebakaran ditamatkan pada pukul 3.15 petang dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Jelasnya, kebakaran dipercayai bermula dari dapur salah sebuah rumah yang terlibat, namun punca sebenar kebakaran masih disiasat.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sibu, Kapten Frankie John Jawan berkata, mangsa-mangsa kebakaran kini tinggal sementara di rumah saudara-mara mereka. – BERNAMA











