Keamanan negara dicemburui luar, rakyat perlu bersyukur - Rahim Noor - Utusan Malaysia

Keamanan negara dicemburui luar, rakyat perlu bersyukur – Rahim Noor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 29 Mac – Rakyat negara ini sepatutnya merasa lebih bersyukur kerana berada di dalam suasana yang aman dan harmoni.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, keamanan yang dikecapi negara ini sangat dicemburui negara luar walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

“Dalam tugas baharu saya di Selatan Thailand, saya berkesempatan berjumpa dengan pihak berkenaan dan saya dapati, puak pejuang yang membuat angkara di sana dan melarikan diri ke Malaysia untuk perlindungan sangat kagum dengan keamanan di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada saya, keadaan ini (keamanan) menimbulkan keinsafan kepada mereka, dan itulah ertinya bagi orang luar yang melihat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Meraikan Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) anjuran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di Hotel Armada di sini hari ini.

Abdul Rahim yang dilantik sebagai fasilitator baharu rundingan damai di wilayah selatan Thailand pada Ogos tahun lalu dalam ucapannya menegaskan, warga PDRM perlu merasa bangga kerana mereka adalah sebahagian daripada tonggak keamanan tersebut, walaupun tidak disedari mereka yang tinggal di negara ini, namun ia dikagumi negara luar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd.Zani Che Din berkata, majlis tersebut diadakan untuk menghargai pesara polis yang tinggal di kawasan pentadbiran IPD Petaling Jaya.

“Ini adalah penganjuran kali ketiga sempena Peringatan Hari Polis, sebanyak lebih 200 veteran polis tinggal di sekitar Petaling Jaya dan hari ini, majlis ini dihadiri sebanyak 65 orang.

“Selain Abdul Rahim, turut hadir adalah Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad, dan bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Tan Sri J. J. Raj yang terlibat dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada Januari 1950,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini