KUALA LUMPUR 23 Mac – Polis Diraja Malaysia menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) merampas sejumlah 400 kilogram dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM26.4 juta dalam satu operasi di Jalan Dusun Raja, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun yang disyaki cuba membawa keluar dadah tersebut ke negara jiran dengan menggunakan sebuah van.
“Hasil pemeriksaan terhadap van tersebut menemukan 400 kilogram dadah yang dibungkus dalam 400 bungkusan dengan tulisan Cina ‘Guan Yin Wang’ yang dianggarkan mampu menampung keperluan lebih 800,000 penagih dadah.
“Dalam tangkapan itu, kita turut merampas van yang digunakan untuk menyeludup bukan sahaja dadah tersebut, malah sindiket yang sama juga disyaki terlibat menyeludup rokok serta beras,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Acryl Sani, pihaknya turut merampas dua telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM273, kunci dan alat kawalan jauh.
Tambahnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 28 Mac ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











