JOHOR BAHRU 13 Mac – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan penularan kenyataan melalui WhatsApp mengenai pengisytiharan red alert oleh pihak Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru yang disebarkan sejak semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz juga menegaskan, kenyataan yang tular bahawa sudah ada kes kematian akibat pencemaran pembuangan toksik juga adalah tidak benar.
“Sehingga kini, tiada sebarang kematian rentetan daripada kejadian pembuangan sisa toksik di daerah Johor Bahru.
“JKNJ ingin menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada mempercayai dan menyebar maklumat palsu yang boleh menimbulkan kerisauan.
“Pihak JKNJ turut menyeru agar masyarakat lebih prihatin dan hanya mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berwajib. Maklumat terkini keadaan akan disiarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi. – UTUSAN ONLINE











