KUALA LUMPUR 9 Mac. – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengorak langkah
untuk mengukuhkan kelab apabila bakal menjalin kerjasama dengan gergasi bola sepak Itali, Juventus.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam hantaran di Facebook HRH Crown Prince of Johor berkata, Harimau Selatan sedang membincangkan kolaborasi dengan Juventus.
Perkara itu dibincangkan ketika Tunku Ismail bertemu Presiden Juventus, Andrea Agnelli di Royal Park I Roveri, Fiano, Itali semalam.
“JDT dan Juventus telah bersetuju untuk bekerjasama dan Harimau Selatan akan menghantar satu delegasi ke Turin beberapa minggu akan datang bagi membincangkan lebih lanjut mengenai kolaborasi yang akan dijalinkan.
“JDT cukup berminat untuk memperluaskan wawasan mereka ke Itali serta mendapatkan pandangan bernilai dari kelab paling berjaya di Itali. Juventus telah memenangi 34 kejuaraan Serie A,” tulisnya dalam laman sosial Facebook peribadinya, HRH Crown Prince of Johor.
Sementara itu, Tunku Ismail turut melawat pusat latihan pasukan utama Juventus di Turin merangkumi bilik persalinan, auditorium, pusat rawatan dan pemulihan, gimnasium dan padang.
Beliau juga berkesempatan menyaksikan perlawanan Serie A antara Juventus dan Udinese di Stadium Allianz,Turin.
Juventus menang 4-1, sekali gus mengukuhkan kedudukan pendahulu liga kepada 19 mata di depan Napoli. – UTUSAN ONLINE











