KUALA LUMPUR 9 Mac – Wanita UMNO menyuarakan kekesalan atas insiden perarakan Women’s March yang dicemari kehadiran penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sini hari ini.
Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, tindakan penyokong golongan itu dikhuatiri akan menjadi punca kepada kerosakan institusi sosial yang lebih besar kepada negara ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya tidak tunduk kepada apa sahaja desakan golongan tersebut.
“Golongan LGBT mempunyai hak seperti rakyat Malaysia yang lain tetapi hak kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah menghalang mereka daripada melakukan aktiviti tidak bermoral.
“Sekiranya golongan LGBT diiktiraf dan bebas melakukan apa sahaja aktiviti, maka mereka akan merasakan benar dan dilindungi undang-undang. Akibatnya, akan lahir pula generasi baharu dalam kalangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.











