Jangan serang kubu Jokowi-Ma’ruf – Sandiaga - Utusan Malaysia

Jangan serang kubu Jokowi-Ma’ruf – Sandiaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 24 Mac – Calon Naib Presiden Indonesia nombor dua, Sandiaga Uno mengingatkan Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo Subianto-Sandiaga Uno supaya tidak ‘menyerang kubu’ gandingan Joko Widodo dan Ma’ruf Amin semasa kempen secara terbuka.

Sandiaga berkata demikian selepas mengadakan perjum­paan bersama beberapa parti politik gabungan di kediaman Prabowo, di sini semalam.

Beliau berharap tiada sebarang konflik berlaku sehingga boleh mencetuskan pergaduhan menjelang hari pengundian yang dijangka berlangsung pada April ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sampaikan maklumat yang tenang-tenang sahaja kerana kita sudah semakin menghampiri penghujung kempen. Saya tidak mahu ada sebarang kontroversi atau serang menyerang antara kedua-dua pihak.

“Kita perlu pastikan pilihan raya kali ini berjalan dengan bebas dan secara langsung,” katanya.

Dalam pada itu, Sandiaga sebagaimana lapor Detik News menjelaskan sebab beliau se­ring mengadakan kempen secara bersendirian tanpa bergandi­ngan dengan Prabowo.

Katanya, hal itu bagi memastikan beliau dan Prabowo dapat menarik lebih banyak undi daripada masyarakat.

“Kempen yang dilakukan oleh saya dan Prabowo saling melengkapi dan kami tidak melebihi antara satu sama lain,” katanya.

Kedua-dua calon tersebut akan berkempen bersama di Pulau Jawa tidak lama lagi.

Jelasnya, tidak ada salahnya jika mereka tidak melakukan kempen secara bersama asalkan matlamat perjuangan dapat disampaikan terus dan jelas kepada masyarakat Indonesia.

Kenyataan itu juga mendapat sokongan daripada jurucakap BPN, Ahmad Muzani yang memaklumkan bahawa kempen berasingan bagi Prabowo dan Sandiaga sudah ditentukan sejak awal lagi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini