SAUDARA PENGARANG,
KEMELUT persatuan bola sepak sama ada dalam kelompok Liga Super ataupun Liga Perdana yang mewakili negeri atau kelab tidak habis-habis dengan pelbagai isu. Antaranya gaji pemain tertunggak hingga ada yang mencecah ratusan ribu ringgit belum dibayar sejak musim lalu.
Inilah yang sedang berlaku saban tahun apabila pasukan mereka kalah dan tiada harapan lagi untuk bersaing maka mulalah ‘mendera’ pemain dengan menangguhkan gaji. Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengurusan persatuan amat dikesali kerana dalam kita mengasah bakat untuk dijadikan pemain pasukan kebangsaan dan memasuki era profesional, mereka tidak bertindak serta berfikir seiring kemajuan bola sepak tempatan.
Diharap pada musim akan datang, perkara-perkara seperti ini dapat dielakkan dan jangan bersikap tidak peduli hanya kerana persembahan pemain tidak seperti diharapkan. Sudah jadi adat permainan, ada kalah menang.
Pada masa sama, diharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat berunding dengan stesen televisyen tidak kira milik kerajaan atau swasta supaya kerap mengadakan siaran langsung sama ada Liga Super atau Liga Perdana kerana sukan ini popular dalam kalangan rakyat di semua peringkat.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Ampangan, Seremban











