HULU SELANGOR 30 Mac – Azam untuk mengubah persepsi buruk masyarakat terhadap kerjaya polis menjadi dorongan kepada Sarjan Mohamad Faiz Had untuk menceburi bidang tersebut sehingga mampu merangkul Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Kadet Sarjan Siri 3/2018.
Mohamad Faiz, 27, berkata, kerjaya polis sering dikaitkan dengan rasuah serta salah guna kuasa sehingga dirinya terpanggil untuk berkhidmat dalam pasukan itu bagi membuktikan kerjaya sebagai seorang anggota polis lebih memfokuskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Disebabkan itu, saya sanggup meninggalkan kerjaya sebagai jurulatih sebuah pasukan bola sepak di Alor Setar, Kedah dan menjalani latihan selama sembilan bulan di sini. Muncul sebagai pelatih terbaik saya anggap sebagai satu bonus berkat sokongan ahli keluarga.
“Jika diberi peluang saya berharap boleh berkhidmat dalam Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik kerana jenayah melibatkan dadah ada di mana-mana sahaja dan menjadi tanggungjawab saya sebagai anggota polis untuk membanterasnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Tamat Latihan PLAK siri 3/2018 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Datuk Ramli Hassan dengan 198 pelatih berjaya menamatkan latihan.
Sementara itu, bagi Pelatih Terbaik Akademik, Mohammad Edrin Sani, 25, dirinya mula berminat untuk menjadi anggota polis apabila melihat pasukan polis banyak membantu masyarakat di kampung halamannya di Muar, Johor.
“Mereka sentiasa berusaha untuk meniaga keselamatan di kawasan sekitar dan semangat itu menjadi satu daripada penyebab saya mahu menjadi anggota polis.
“Dalam usaha menamatkan program latihan dengan cemerlang, kita perlu fokus semasa belajar dan memastikan semua maklumat penting dicatat untuk memudahkan pemahaman,” ujarnya.
Selain itu, Sarjan Muhammad Zulfikar Asri, 25, diumum sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar.-UTUSAN ONLINE











