Isu Taman Manggis, Zuraida mahu Kerajaan Negeri P. Pinang berbincang dengan penduduk - Utusan Malaysia

Isu Taman Manggis, Zuraida mahu Kerajaan Negeri P. Pinang berbincang dengan penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH  8 Mac – Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mengadakan perbincangan dengan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang dihalau keluar dari rumah masing-masing.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, perbincangan tanpa kehadiran orang ketiga atau ejen itu bagi meneliti masalah yang dihadapi penduduk terlibat sehingga enggan berpindah.

Katanya, pertemuan dan mesyuarat lebih berstruktur itu juga bagi memudahkan penduduk terlibat menerima keputusan dibuat dan dalam masa sama kerajaan negeri boleh menjadi fasilitator untuk membantu mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sama ada kita dengar pandangan daripada penduduk itu sendiri atau daripada ejen-ejen yang tidak patut terlibat dan memberikan pandangan di media sehingga disalah tafsir oleh rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat negeri di sini hari ini.

Zuraida mengulas mengenai kemelut lebih 20 keluarga PPR Taman Manggis yang disita rumah mereka sejak Rabu lalu selepas tidak lagi memenuhi syarat untuk menduduki rumah berkenaan.

Ekoran itu, beberapa buah keluarga yang terlibat bertindak berpindah dan bermalam di ruang legar bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown sejak diusir sehingga kini.

Dalam pada itu, Zuraida mengingatkan menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang dan dalam masa sama mendidik masyarakat supaya mematuhi pelaksanaan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Isu seperti ini tidak akan timbul sekiranya penguatkuasaan yang tegas diambil sejak dahulu lagi dan kini di bawah pemerintahan kerajaan baharu terdapat pihak-pihak lain menjadikannya sebagai isu politik.

“Bila kita kuat kuasakan undang-undang, maka rakyat akan lebih faham dan patuh kepada undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini