PULAU PINANG 26 Mac – Hasil seni yang tiada penghujung dan keunikan yang tidak dikesan oleh mata kasar manusia merupakan coretan seni visual yang berjaya dipamerkan oleh Dr. Ismail Abdullah di dinding-dinding galeri seni tempatan dan antarabangsa.
Hanya menggunakan abu dan arang kesan kebakaran, Ismail berjaya membawa satu ilham konseptual iaitu asemblaj foto-serial bertemakan abu dan arang dan instalasi foto-objek berdasarkan interpretasi sajak Salam Benua karya Sasterawan Negara, Usman Awang dalam bentuk visual.
Karya seni unik beliau itu diterjemah melalui pameran bertajuk Abu/Arang & Salam Benua yang sedang dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM), di sini ketika ini.
Ismail yang juga alumni USM berkata, menjadi hasrat beliau untuk berkongsi idea menggunakan visual kesan kebakaran serta partikel abu dan tungkulan arang melalui tingkap minda imaginatif buat tatapan umum terutama warga USM.
“Karya seni yang dicipta ini berkisar persoalan konsepsi estetik dan ekspresi puitiknya melalui aktiviti dan kesilapan manusia yang memusnahkan persekitaran serta kesedaran harus dipupuk dalam memelihara kesejahteraan persekitaran yang semula jadi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, karya seni visual triplet yang beliau kongsikan itu disampaikan dalam bentuk sekuens foto, catan-foto, pengecatan objek serta penvisualan puisi konseptual yang abstrak supaya mudah difahami dan dihayati peminat seni tanah air.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail berkata, beliau amat mengalu-alukan pameran hasil seni kreatif, inovatif dan berkualiti untuk dikongsi bersama warga kampus universiti berkenaan.
Beliau berkata, USM sentiasa membantu universiti awam dan swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta karyawan seni negara bagi menonjolkan bakat mereka dalam bentuk pameran seumpama itu dan aktiviti lain.
Orang ramai dan peminat seni tanah air yang ingin menghayati hasil seni Ismail itu boleh berkunjung ke Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah sehingga 13 April ini bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang.
Maklumat lanjut juga boleh didapati dengan menghubungi talian 04-6533261/2137/4789/4788 atau melayari laman sesawang www.mgtfusmpenang.blogspot.com.











