KUALA LUMPUR 23 Mac – Polis telah merakam percakapan 10 individu berhubung insiden tolak menolak antara mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di perhentian bas di Pantai Bahari, di sini semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 12 laporan polis daripada mereka yang terlibat dan siasatan kini sedang dijalankan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam.
Mengulas mengenai kejadian semalam, Mazlan berkata, pada kira-kira pukul 3.45 petang, sebanyak tujuh lelaki yang merupakan mahasiswa sebuah IPTA mengadakan protes senyap (silent protest) dengan memegang poster sehingga berlaku provokasi yang mengakibatkan salah faham dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Ahli Parlimen Pekan itu.
“Sebaik sahaja menerima maklumat insiden tersebut, pihak polis telah hadir dan berjaya mengawal keadaan serta menyelamatkan mahasiswa dengan membawa mereka keluar dari tempat kekecohan berlaku untuk mengelak daripada berlakunya insiden yang lebih buruk kerana mereka ketika itu dikerumuni oleh penyokong Najib.
“Semua mahasiswa tersebut dibawa ke Balai Polis Pantai dan telah dirakam percakapan sebagai saksi dan dinasihatkan untuk membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mazlan dalam kenyataan itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan diingatkan untuk mematuhi undang-undang yang ada dan menegaskan segala bentuk perhimpunan hendaklah mengikut syarat-syarat seperti di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi undang-undang ini.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Mohd. Firdaus Sharil di talian 012-3388164, Pegawai Penyiasat, Inspektor Aaron Anthony Doss di talian 014-9018596, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE











