DAMSYIK 27 Mac – Di sebuah set penggambaran drama bersiri di luar Damsyik memaparkan rumah-rumah yang diperbuat daripada tanah, pokok kurma dan unta dengan pelakon berjubah, menjadi titik tolak kebangkitan semula industri perfileman negara ini.
Sama seperti sektor ekonomi lain di Syria, industri filem dan penyiaran terkesan teruk akibat konflik berpanjangan yang mengorbankan jutaan orang selain memaksa berjuta-juta yang lain menjadi pelarian.
Sejak itu, apa jua filem atau drama bersiri yang diterbitkan oleh produksi Syria ketika perang, sudah semakin berkurangan dibeli oleh pasaran di negara-negara Teluk dan negara lain, yang pernah menjadi pasaran utama Syria.
Pelakon dan pengarah berpindah ke luar negara.
Studio rakaman juga sunyi sepi.
Bagaimanapun, sebaik sahaja konflik di sekitar Damsyik berakhir tahun lalu, industri perfileman dan penyiaran Syria kembali hidup.
Ziad Al-Rayes, Ketua Pertubuhan Produser Televisyen Syria berkata, kini industri tersebut mampu digerakkan dengan lebih selesa dan berkesan.
“Di sini, kita ada empat musim. Ada kawasan pergunungan, gurun, lembah dan salji. Di sini kosnya lebih murah berbanding perfileman di tempat lain,” katanya seperti dilaporkan Arab News.
Berbalik kepada set penggambaran di luar Damsyik itu, produser menghasilkan drama bersiri mengenai ilmuan bernama Muhiy Al-Din bin Arabi.
Drama bersiri itu akan disiarkan di Emiriah Arab Bersatu.
Menurut Ziad, beberapa drama bersiri lain akan turut disiarkan di Rusia dan Iran serta Lebanon.
Ketika perang, kebanyakan pelakon-pelakon ternama Syria meninggalkan negara dan mencari peluang di negara-negara Arab lain.
Salah seorang pelakon terkenal, Qays Al-Sheikh Najib, 41, sekarang kembali ke Damsyik dan menjalani penggambaran buat pertama kali di Syria selepas ‘menghilang’ selama lapan tahun.











