KUALA LUMPUR 28 Mac – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi Februari 2019 turun 1.6 peratus bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.
Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu berkata, penurunan tersebut disebabkan penyusutan indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (-11.6 peratus), bekalan air (-2.0 peratus) dan pembuatan (-1.3 peratus).
“Sebaliknya, indeks perlombongan serta bekalan elektrik dan gas, masing-masing meningkat 2.4 peratus dan 0.8 peratus,” katanya.
Secara bulanan, pengeluaran tempatan IHPR meningkat 0.6 peratus berbanding Januari 2019 disokong oleh indeks perlombongan (+4.7 peratus), pembuatan (+0.2 peratus) dan pertanian, perhutanan dan perikanan (+0.2 peratus).
Bagaimanapun, indeks bagi bekalan air serta bekalan elektrik dan gas, masing-masing merekodkan penurunan sebanyak 1.0 peratus dan 0.3 peratus.
“Pengeluaran tempatan IHPR bagi tempoh Januari-Februari 2019 mencatatkan penurunan sebanyak 2.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
Katanya pada Februari 2019, pengeluaran tempatan IHPR di semua peringkat pemprosesan menunjukkan penurunan berbanding bulan yang sama tahun lepas.
Penurunan ini disumbangkan oleh indeks bahan-bahan mentah untuk pemprosesan selanjutnya (-2.9 peratus), bahan perantaraan, bekalan dan komponen (-1.9 peratus) dan barangan siap (-0.2 peratus).
“Berbanding bulan sebelumnya, pengeluaran tempatan IHPR bahan-bahan mentah untuk pemprosesan selanjutnya meningkat 2.3 peratus, diikuti barangan siap pada 0.2 peratus dan bahan-bahan perantaraan, bekalan dan komponen pada 0.1 peratus,” katanya. – BERNAMA











