KUALA LUMPUR 13 Mac – Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilantik sebagai pemangku pengarah jabatan itu, berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Datuk Seri Wan Najmuddin Mohd. yang bersara wajib mulai hari ini.
Huzir menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2001 dan mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam pasukan ini.
“Ini adalah pelantikan sementara, namun saya akan berusaha sedaya upaya untuk menangani masalah jenayah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang menyaksikan serahan tugas tersebut berkata, pihaknya telah mengemukakan nama kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pasukan Polis bagi memilih calon menggantikan Wan Ahmad Najmuddin.
“Setakat ini tempatnya dipangku oleh Datuk Huzir kerana kekananan penjawatan dan pengalaman yang dimiliki dalam siasatan jenayah.
“Keputusan memilih pengarah bergantung kepada kerajaan dan suruhanjaya berkenaan. Setakat ini saya tidak boleh dedahkan berapa nama yang dicadang termasuk tempoh yang diberikan,”katanya. – UTUSAN ONLINE











