HULU LANGAT 2 Mac – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (2.0)menyifatkan tindakan membatalkan penyertaan calon kerana melakukan kesalahan meraih undi selepas tempoh berkempen sebagai terlalu serius.
Pengarah Eksekutifnya, Yap Swee Seng berkata, ini kerana tindakan itu didapati tidak bersesuaian dengan kesalahan calon yang hanya cuba meraih sokongan undi.
Katanya, kali ini, kesalahan tersebut telah dilakukan oleh kedua-dua parti iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
“Sebenarnya, kedua-dua parti buat kesalahan berkenaan. Ini merupakan satu kesalahan apabila tempoh berkempen telah diberikan selama dua minggu.
“Untuk hari ini, ia direkodkan dalam temubual media. Jadi, kami akan meminta polis untuk membuat siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu membuat laporan polis di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Beliau mengulas isu Calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali dikatakan terkempen ketika ditemubual media di Pusat Mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, di sini hari ini.
Tambah Swee Seng, untuk masa hadapan, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menilai semula bentuk hukuman terhadap kesalahan calon meraih undi selepas tamat tempoh berkempen.
Katanya, SPR dan Ahli-ahli Parlimen sepatutnya mencadangkan bentuk hukuman yang bersesuaian dengan jenis-jenis kesalahan.
“Sekarang, sukar untuk menentukan sama ada ini adalah kesalahan besar atau kecil.
“Saya fikir, pada masa akan datang, SPR dan ahli-ahli Parlimen perlu melihat semula perkara ini dan memperhalusi undang-undang berkenaan. Lebih baik memperkenalkan hukuman denda berbanding membatalkan penyertaan calon yang bertanding,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











