KUALA LUMPUR 21 Mac – Pengalaman pahit seorang pemuda yang kehilangan sumber mata pencarian apabila motosikal miliknya hilang tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan di ibu kota.
Sebaliknya, berkat usaha gigih dan tidak berputus asa, Anuarmusha Marudi, 26, anak jati negeri ini kini bergelar usahawan kecil- kecilan dengan perniagaan kacang rebus yang menarik perhatian pengunjung di Jalan Tuanku Abdul Rahman terutama waktu hujung minggu.
“Sebelum saya menjual kacang rebus saya bekerja sebagai pengirim (despatch) di sebuah syarikat swasta.

“Selepas kehilangan motosikal saya hilang mata pencarian,” katanya ketika tinjauan Utusan Online baru- baru ini.
Bermodalkan duit simpanan dan tuntutan insurans, dia meneruskan perancangan perniagaan awal menjual kacang rebus dengan membeli sebuah motosikal tiga roda.
“Hasil menjual kacang rebus ini tidaklah lumayan. Paling tinggi RM50 dan paling minimum RM30 sehari,” jelasnya.
Kacang rebus bersaiz besar ini diperolehi daripada pembekal di pasar borong berdekatan dan sebanyak 40 kilogram dibawa untuk dijual bermula dari jam 12 tengahari sehingga 6 petang. – UTUSAN ONLINE











