IPOH 13 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta semua pihak supaya menghentikan khabar angin kononnya akan berlaku perubahan kerajaan negeri seperti yang tular dalam media sosial.
Menurutnya, sebaliknya semua pihak terutama wakil rakyat termasuk dari Pakatan Harapan (PH), UMNO dan Pas menumpukan perhatian dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, cerita-cerita kononnya kerajaan negeri PH Perak akan tumbang hanya seronok dimainkan dalam media sosial tetapi tak membawa apa-apa keuntungan kepada usaha untuk membangunkan negeri.
“Saya rayu kepada media, wakil rakyat PH, UMNO dan Pas sama-sama berhenti bercakap tentang perkara ini. Kita fokus memberi perkhidmatan kepada rakyat.
“Adun-Adun Pas dan UMNO ada tanggungjawab setelah mereka dipilih oleh rakyat. Saya sebagai Menteri Besar Perak bukan Menteri Besar PH semata-mata.
“Jadi cerita tentang nak ubah Menteri Besar, nak tukar kerajaan kita simpan jauh-jauh supaya kita fokus kepada tanggungjawab hakiki kita sekarang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











