MELAKA 8 Mac – Pelakon veteran wanita, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 65, dipilih sebagai tokoh wanita sempena Sambutan Hari Wanita 2019 peringkat negeri yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini sebentar tadi.
Beliau yang kini menetap di Sungai Udang dan pernah berlakon lebih 100 buah drama tempatan menerima anugerah yang disampaikan isteri Ketua Menteri, Dalilah Awaludin pada majlis sambutan peringkat negeri dihadiri kira-kira 200 golongan wanita.
Sambutan Hari Wanita yang diraikan di seluruh dunia itu dan bertemakan ‘Seimbang untuk Sejahtera’ peringkat Melaka turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Ginie Lim Siew Lin dan Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita negeri, Mohd. Yusri Zainal.

Dalilah yang juga Pengerusi Pertubuhan Amal Isteri Wakil Rakyat Pakatan Harapan Melaka (Harwanis) dalam ucapannya meminta golongan wanita terus memainkan peranan untuk membantu membangunkan negara.
“Tanpa peranan wanita, negara tidak akan dapat membangun seperti sekarang, sumbangan wanita dalam semua bidang iaitu politik, ekonomi, sosial dan agama sangat besar dan selayaknya diberi pengiktirafan.
“Wanita juga perlu bijak membahagikan masa antara tanggungjawab kepada keluarga, ibu bapa dan kerjaya kerana kita tahu komitmen mereka amat tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan itu sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











