KUALA LUMPUR 11 Mac – Hari Tanpa Kenderaan Petaling Jaya 2019 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya, semalam menyaksikan penglibatan luar biasa daripada warga Petaling Jaya.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program antaranya ‘PJ Smart Ride’, larian ‘Purple Walk’, pertandingan memancing, permainan tradisional, mewarna dan santai budaya yang sesuai untuk seisi keluarga.
Program yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 1 petang itu turut dimeriahkan dengan persembahan daripada pasukan Kompang 5 Beradik yang semakin popular selepas tular di media sosial sebelum ini.
MBPJ dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran program antara lain bertujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di samping menggalakkan masyarakat menukar mod perjalanan daripada kenderaan bermotor kepada ‘Green Active Transportation’ seperti berbasikal dan berjalan kaki.
“Ini merupakan usaha MBPJ untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya hijau dan mampan di samping mengajak penduduk tempatan untuk bersama-sama memelihara tenaga dan sumber bagi mengurangkan penggunaan kenderaan agar dapat mengawal kadar pencemaran udara,” katanya. – UTUSAN ONLINE











