PADANG BESAR 8 Mac – Rakyat disarankan agar sentiasa menghargai pengorbanan para pahlawan dan perajurit negara.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullailbertitah bertitah, jasa mereka mengawal perbatasan dan menjaga keamanan negara amatlah besar dan tidak terbalas. “Mereka meninggalkan keluarga demi keamanan negara.
“Justeru, marilah kita sama-sama berdoa semoga para perajurit kita di masa dahulu, sekarang dan juga di masa-masa hadapan akan sentiasa diberkati dan dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah.
Demikian titah Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Sambutan Hari Ulangtahun Tentera Darat Malaysia (TDM) yang ke 86 Peringkat Rejimen 504 Askar Wataniah yang diadakan di Lapangan Merentas Halangan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Kem berkenaan yang terletak di Bukit Keteri, Padang Besar pagi semalam.
Majlis tersebut disekalikan dengan ‘Majlis Apresiasi Penyumbang Zakat Pendapatan Kepada MAIPs Tahun 2018’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Komander Rejimen tersebut, Lt Kol Huzaini Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Tuan Azman Mohd Yusof.
Baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen berkenaan mengajak semua pihak kepimpinan di segenap peringkat untuk menggalakkan lagi warga serta kakitangan di jabatan dan agensi, syarikat, IPT dan sekolah masing-masing untuk turut serta menyertai Askar Wataniah sebagai anggota sukarelawan atau sukarelawati samada sebagai seorang pegawai mahupun lain-lain pangkat.
Untuk rekod, Kem Bukit Keteri ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas dan kawasan ’Merempuh Halangan Syed Sirajuddin Areeb Putra’ yang menarik sekali itu boleh dimanfaatkan oleh anggota dan masyarakat setempat. – UTUSAN ONLINE











