'Happy Together', cara Sarah, Sissy, Wani - Utusan Malaysia

‘Happy Together’, cara Sarah, Sissy, Wani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suasana yang mulanya agak suram bertukar gamat apabila tiga gadis sunti itu saling mencelah mahu berkongsi kisah masing-masing sepanjang enam hari menjalani penggambaran The House musim kelima terbitan Astro.

Tiga bintang yang sinonim dengan frasa ‘budak baru nak up’ (BBNU) iaitu Sarah Suhairi, Wani Kayrie dan Sissy Imann itu juga sanggup ‘bertikam lidah’ ketika setiap seorang daripada mereka membongkar sisi gelap peribadi di sebalik lapisan bernama selebriti.

Sesekali terhambur gelak tawa sambil diselangi aksi saling tampar menampar manja yang menjadi bukti hubungan antara mereka terbina akrab selepas enam hari menghabiskan masa bersama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menjalani penggambaran di sebuah vila di Janda Baik dan sekitar Kuantan, Pahang, pemilihan trio bintang muda itu menerusi program realiti The House merupakan sebuah percaturan baharu memandangkan selama ini, The House sinonim sebagai program yang menampilkan peserta bersaudara atau ada hubungan kekeluargaan.

Rahsia

Seawal sesi wawancara, Wani banyak berdiam diri dan ketawa kecil gara-gara menjadi mangsa ‘serangan’ nakal Sarah dan Sissy.

Bukan satu atau dua rahsia yang didedahkan mereka mengenai Wani, malah individu paling rancak berkongsi sisi berbeza Wani sepanjang rakaman The House adalah juara Big Stage #DominasiBBNU musim pertama, Sarah.

“Kalau semua mahu tahu, Wani adalah manusia pertama yang saya jumpa boleh tidur di mana sahaja. Bayangkan ketika sedang makan, Wani boleh tidur.

“Malah ketika rakaman di kawasan yang panas, Wani tanpa masalah boleh melelapkan mata,” katanya sambil disambut cubitan manja daripada Wani.

Mengakui pandangan pertamanya terhadap pelantun lagu Jangan-Jangan itu berubah selepas menjalani penggambaran The House, Sarah mendedahkan Wani antara peserta yang digeruni sepanjang bersaing di pentas Big Stage.

“Sekitar dua bulan bersaing dalam Big Stage, saya sangat takut untuk bertegur sapa dengan Wani. Biarpun usia kami sebaya, Wani kelihatan lebih matang.

“Apabila masuk hari keenam tinggal bersama, baharulah saya mengenali Wani. Kesimpulannya, Wani seorang yang lucu,” kata Sarah yang tidak sabar menantikan reaksi peminat terhadap program The House.

Berkongsi mengenai pengalamannya menjalani penggambaran tersebut, Sarah mengakui sedaya upaya menjadi diri sendiri sepanjang rakaman.

Tanpa penglibatan kru produksi yang ramai dan penggunaan kamera minimum, pelantun lagu Pedih itu tidak ada masalah untuk menonjolkan dirinya yang sebenar.

“Keunikan mengenai The House adalah merakamkan aksi spontan kami bertiga. Sudah tentu tiada skrip yang disediakan.

“Cuma untuk menceriakan program ini, kami diberikan cabaran berbeza. Kami semua bebas untuk menjadi diri sendiri sepanjang enam hari rakaman The House,” kata penyanyi berusia 19 tahun itu.

The House musim kelima merangkumi lima episod bakal memulakan tayangan perdana dalam portal digital Gempak menerusi pautan www.thehouse.com.my pada pada 19 Mac ini.

Siaran televisyen pula menemui penonton menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD pada setiap hari Rabu bermula 27 Mac nanti.

Personaliti

Selain tiga penyanyi utama berkenaan, The House turut menjemput personaliti untuk membuat penampilan dalam rakaman program realiti itu.

Antara yang membuat penampilan ialah Ariff Bahrain, AG Coco, Sufian Suhaimi, Shikin Gomez dan Ghaz Abu Bakar.

Ketika nama Ariff Bahrain antara yang tersenarai sebagai tetamu dalam rakaman berkenaan, mata wakil media pantas memerhatikan reaksi antara Sarah dan Sissy.

Sementelah, jejaka itu sering dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan Sarah, namun ramai juga beranggapan Ariff sebenarnya lebih rapat dengan Sissy.

Tenang mengukir senyuman, Sissy pantas memberi penjelasan bahawa hubungannya dengan Ariff tidak lebih sekadar rakan selebriti.

“Tiada istilah momen pelik antara saya dan Sarah ketika kehadiran Ariff sebagai personaliti jemputan. Saya tidak mempunyai hubungan istimewa dengan Ariff.

“Sudah tentu, seperti mana saya berkawan baik dengan Sarah, begitu juga hubungan saya dengan Ariff,” jelas Sissy panjang lebar.

Usai memulakan bicara dengan menutup spekulasi merebut Ariff dalam rakaman berkenaan, Sissy memberitahu, The House antara program yang berjaya ‘memisahkan’ dia dengan bapanya.

Mesra memanggil bapanya sebagai ayahanda, Sissy mengakui, situasi tersebut merupakan cabaran baginya meneruskan rutin harian tanpa bapa di sisi.

“Ya, pada hari pertama agak sukar untuk menyesuaikan diri tanpa ayahanda. Tetapi selepas beberapa hari saya sudah mampu berdikari,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam The House, Sissy mengakui merindui setiap momen bersama Sarah dan Wani sepanjang menjalani penggambaran.

“Saya sangat seronok sehingga tidak mempunyai sebarang perkataan khusus menggambarkan perasaan itu.

“Kami bukan sahaja hidup bersama, malah lebih mengenali antara satu sama lain. Bayangkan ada cabaran panjat pokok, tukar tayar kenderaan dan kami mampu melunaskan kesemua cabaran ekstrem itu,” luahnya.

Demi merakamkan kesemua momen berkenaan sebagai memori tiga gadis pingitan berkenaan, mereka sempat mencipta lagu baharu sebagai tanda persahabatan mereka.

Happy Together

Lagu bertajuk Happy Together tersebut dirakamkan ketika mereka menjalani penggambaran di sebuah kawasan pantai.

Berkongsi lanjut mengenai lagu berkenaan, Wani memberitahu lagu tersebut disempurnakan kurang dari 24 jam.

“Lagu ini dihasilkan secara spontan antara kami bertiga. Idea penghasilan datang ketika kami sedang menghirup angin segar di tepi pantai.

“Jadi kami terus buat dan lagu itu siap dirakamkan sekitar pukul 2 pagi pada hari sama,” kongsinya.

Wani yang kali pertama menjayakan rakaman program realiti nyata jatuh cinta dengan konsep program berkenaan.

Menyifatkan The House seperti sebuah program travelog tetapi mempunyai originaliti, Wani tidak menolak untuk menjayakan program seumpama The House kelak.

“Mencabarnya The House kerana tidak mempunyai skrip. Oleh kerana ketiadaan skrip, kami bebas menjadi diri sendiri. Sudah tentu semua itu menjadi elemen eksklusif dalam rakaman ini,” ujarnya.

Sering dilabel sebagai pendiam, ternyata karakter sebenar Wani terserlah sepanjang rakaman The House.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang tipis sisi jenaka, dia berharap kehadirannya dalam The House dapat menceriakan hari-hari para penonton.

“Menurut kru produksi, saya seorang yang pendiam apabila sesekali bercakap mampu menyuntik elemen humor. Itu antara faktor pemilihan saya dalam program ini.

“Bagaimanapun, saya berharap khalayak berpeluang melihat peribadi sebenar dan mengenali saya dengan lebih rapat menerusi The House,” katanya menutup bicara.

Tiada lagi rahsia antara mereka, demikian janji persahabatan tiga bintang BBNU yang juga personaliti The House musim kelima selepas enam hari hidup bersama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini