MELAKA 13 Mac – Kerajaan negeri menetapkan kawasan seluas 200 hektar sahaja di Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini dibenarkan untuk kerja-kerja pengeluaran pasir dan batu untuk menampung keperluan pembangunan dalam sektor pembinaan dan perumahan.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerja-kerja moratorium itu hanya diberikan di kawasan tersebut yang sebelum ini pernah diberikan lesen dan kelulusan itu selaras dengan Seksyen 28 Akta Perhutanan Negara 1984 yang telah diterima pakai oleh negeri ini melalui Enakmen Perhutanan Negara (Penerimapakai) 1985.
Selain itu kata beliau, kerajaan negeri tidak akan meluluskan sebarang pembukaan kawasan baharu untuk kerja-kerja mengambil pasir atau batu malah bayaran Ses Pembangunan Hutan yang dikenakan untuk Kumpulan Wang Pembangunan Hutan telah dinaikkan kepada RM3 setiap meter padu berbanding RM1 sebelum ini.
“Perbadanan Ketua Menteri (CMI) diberikan hak eksklusif bagi menjalankan kerja-kerja mengeluar, memproses, mengalih, menyimpan, menjual bahan batuan (pasir), menjalankan kerja-kerja memindah dan mengeluarkan bahan batuan (pasir) di atas Rizab HSK sehingga 31 Disember 2025.
“Untuk itu semua lesen yang diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 11 Disember 2013 dan 30 Oktober 2014 adalah terbatal dan semua permohonan pengeluaran pasir dalam HSK perlu dikemukakan kepada CMI,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri Ayer Keroh, sebentar tadi.
Menurut Adly, CMI juga akan menerima bayaran insentif hasil daripada pengusaha atau kontraktor yang dilantik setara dengan jumlah bayaran kadar royalti yang ditetapkan dalam Fi Bahan Batuan (Pasir dan Granit), Kaedah-Kaedah Tanah Melaka 1966 atau sebarang pindaan yang berkuat kuasa. – UTUSAN ONLINE











