Hak adik ipar pada harta pusaka - Utusan Malaysia

Hak adik ipar pada harta pusaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya teringat pesanan nenek satu ketika dahulu. “Bila kau berkahwin nanti, kau bukan saja perlu terima buruk baik pasangan kau, buruk baik keseluruhan keluarganya pun kau kena hadap”. Setelah 24 tahun mendirikan rumahtangga, Alhamdulillah pasangan dan adik beradik isteri saya semuanya orang baik-baik belaka.

Maknanya jika kita dapat ibu bapa mertua dan adik beradik ipar yang baik, Alhamdulillah tetapi jika sebaliknya kita perlulah juga menanggung risikonya. Inilah kisah yang saya nak cerita minggu ini iaitu kisah adik ipar.

Haji Yusri dan Hajah Norliza telah berumah tangga selama 35 tahun. Pasangan ini tidak dikurniakan anak. Harta Haji Yusri yang paling berharga ialah seke­ping tanah lot yang dibina rumah banglo bernilai RM500,000 hasil duit gratuiti yang diperolehnya ketika bersara sebagai pengetua sekolah. Haji Yusri juga ada beberapa harta lain seperti sedikit wang simpanan, sebuah kereta dan sebuah motosikal. Hajah Norliza adalah suri rumahtangga sepenuh masa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun tiada anak, pasa­ngan ini saling sayang menya­yangi antara satu sama lain dan reda melalui kehidupan mereka bersama. Haji Yusri mempunyai seorang adik lelaki, Salman yang hanya membuat kerja-kerja kampung untuk menyara hidup. Salman tinggal di rumah pusaka ayah Haji Yusri yang telah dise­rahkan haknya kepada Salman. Salman tidak berkahwin dan dikenali orang kampung sebagai penagih dadah tegar. Haji Yusri enggan percaya dengan `cakap-cakap’ orang kampung dan me­ng­anggap itu tohmahan semata.

Satu malam ketika pulang dari surau, motosikal yang ditunggangi Haji Yusri dirempuh lori dan dia mati digilis. Hajah Norliza menerima pencen terbitan Allahyarham sebagai sara hidupnya dan kini mahu meng­uruskan harta pusaka.

Dari segi hukum faraid, waris yang berhak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan Haji Yusri ialah Hajah Norliza sebanyak 1/4 bahagian manakala Salman sebagai waris tunggal lelakinya mendapat 3/4 bahagian. Hajah Norliza risau dan bertanya saya apakah yang patut dilakukannya.

Jawapan saya ialah hak Salman mengikut hukum faraid wajib dimaklumkan kepadanya. Dia mesti tahu berapakah yang dia dapat. Saya mencadangkan Hajah Norliza supaya berjumpa Salman dan berbincang bagi melepaskan bahagiannya terutama hak ke atas rumah. Harta-harta alih lain bolehlah diagih ikut hukum faraid. Melepaskan hak ini dipanggil ‘takharuj’ dan memang dibenarkan dalam Islam dengan syarat waris itu tahu berapa yang dilepaskan dan dia rela hati melakukannya.

Tidak berapa lama selepas itu, Hajah Norliza menghubungi saya. Katanya dia telah berbincang dengan Salman dan Salman bersetuju untuk melepaskan haknya ke atas rumah pusaka Haji Yusri. Hajah Norliza merasa sangat lega dan seronok sehinggalah Salman berkata dia setuju melepaskan haknya ha­nya de­ngan syarat Hajah Norliza ‘me­ne­bus’ bahagian itu dengan tunai.

Rumah pusaka itu bernilai RM500,000 dan bahagian 3/4 Salman bernilai RM375,000. Itulah jumlah yang Salman mahukan Hajah Norliza ‘tebus’ dari­nya. Hajah Norliza terkedu kerana tahu dia tidak mampu membayar jumlah wang sebanyak itu.

Hajah Norliza bertanya lagi kepada saya adakah dia boleh mengetepikan Salman daripada proses pusaka dengan hanya mengisytiharkan dirinya sebagai waris tunggal Haji Yusri? Jawapannya ialah tidak boleh. Memanglah di Malaysia kita tiada satu sistem yang mengesahkan siapa waris si mati. Pengesahan waris hanya dibuat melalui maklumat yang diberikan waris-wa­ris di bawah sumpah (under oath) yang hadir ketika bicara kuasa.

Kalau waris berbohong pun ia tidak akan diketahui Pegawai Pusaka atau Mahkamah. Namun dosa memakan harta yang bukan miliknya ini sangat jelas iaitu hukum­nya haram. Hajah Norliza juga boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan menyorokkan waris.

Walaupun Hajah Norliza mengisytiharkan dirinya sebagai waris tunggal, dia tetap berhak ke atas 1/4 sahaja harta pusaka Haji Yusri. Jadi, ke mana pergi baki 3/4 harta pusaka itu? Ia akan dimiliki pula oleh Baitulmal iaitu waris assobah (waris yang menghabiskan) mengikut undang-undang Syarak di Malaysia. Jadi Hajah Norliza tetap tidak mendapat hak sepenuh­nya ke atas rumah itu.

Kali terakhir saya mendengar berita daripada Hajah Norliza, proses pengurusan harta pusaka suaminya telah selesai. Di dalam geran tanah rumahnya, tercatat nama Salman sebanyak 3/4 bahagian kerana dia gagal menebus bahagian itu. Harta-harta Allahyarham yang lain juga dibahagikan secara faraid. Apa sahaja transaksi ke atas rumah itu selepas ini perlulah mendapat persetujuan kedua-dua orang ini. Senang ke susah agaknya?

* Ariffin Sabirin adalah Pengasas Wasiyyah Shoppe Berhad

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini