MELAKA 8 Mac – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu segera meletakkan jawatannya sebagai menteri kanan kerana tindakannya itu tidak mencerminkan kewibawaannya untuk berada dalam kerajaan.
Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Melaka, Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, kenyataan biadab beliau itu mengenai gabungan UMNO dan Pas itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang bergelar menteri.
“Guan Eng tidak menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini dan walaupun telah mengubah tajuknya tetapia ia tetap menggores perasaan umat Islam dan orang Melayu.
“Sehubungan itu kita mahu Guan Eng dikenakan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa atas kenyataan biadabnya yang cukup rasis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan aman yang disertai kira-kira 100 orang umat Islam selepas solat Jumaat di pekarangan Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek.
Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya mempersoalkan tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang tidak berani mengambil tindakan terhadap menteri kanan itu.
“Kita hairan kenapa Guan Eng tidak didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 walaupun sudah banyak laporan polis dibuat terhadapnya,” tegasnya.
Sementara itu, Kamaruddin dalam ucapannya mendesak supaya tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa berhubung kenyataan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian kaum di negara ini.
“Kita kesal dengan DAP kerana mereka tidak menghormati kaum lain, kita mahu dia didakwa atau letak jawatan segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE











