Geran tahunan bukan jalan penyelesaian tunggakan gaji - Utusan Malaysia

Geran tahunan bukan jalan penyelesaian tunggakan gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Mac.- Liga Bolasepak Malaysia(MFL) sekali lagi menegaskan bahawa geran tahunan 2019 bukan jalan pintas untuk pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menyelesaikan masalah hutang.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, menyifatkan langkah tersebut satu perbuatan tidak sihat di mana badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu, sentiasa menekankan insentif tersebut harus digunakan untuk tujuan positif dan bukannya menjadi saluran menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

Sebelum ini, MFL telah bertindak menahan geran tahunan kepada pasukan-pasukan yang gagal menyelesaikan masalah hutang antaranya Perlis yang telah dibatalkan penyertaan dalam Liga Perdana musim ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada juga dalam dokumen-dokumen diberikan (kepada MFL) berkata bahawa isu ini (tunggakan gaji) akan diselesaikan menerusi geran tahunan yang diberikan dan walaupun ini adalah salah satu ikhtiar MFL untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji dengan menahan insentif yang diberikan tetapi ia adalah satu perkara tidak sihat.


“Sebenarnya geran ini perlu digunakan pada tahun 2019 untuk membangunkan pasukan itu dan jika satu pasukan telah mendapat penaja atau pelabur yang boleh menampung perbelanjaan mereka pada tahun ini, maka geran yang diberikan boleh digunakan untuk membangunkan fasiliti atau melabur peringkat pembangunan akar umbi.


“Ia tidak sepatutnya berlaku jika geran tahun digunakan menyelesaikan hutang-hutang yang lama. Walaupun kita kemungkinan akan mengambil langkah itu (serahkan geran) di mana ia bergantung keputusan di tangan Ahli Lembaga Pengarah MFL, tetapi ia menjadi perkara tidak sihat bagi tempoh jangka masa panjang,” katanya.

Tambahnya, ketika ditanya masih ada pasukan-pasukan yang berhajat menggunakan geran tahunan bagi menyelesaikan masalah hutang, Kevin tidak menolak kemungkinan itu di mana beliau mengakui kecewa apabila geran tersebut tidak digunakan pada tujuan yang betul.

“Duit geran yang diberikan pada tahun ini adalah kegunaan pada tahun ini dan semua pasukan yang terlibat telah mendapat geran yang diberikan pada tahun 2018 di mana ia sepatutnya digunakan pada tahun 2018.

“Jadi, insentif itu telah diberikan sepenuhnya dan ia tidak patut untuk menyatakan bahawa mereka tidak dapat menyelesaikan isu-isu tunggakan itu oleh kerana MFL tidak memberikan insentif pada tahun 2019,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini