Gegey di Putrajaya - Utusan Malaysia

Gegey di Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Restoran Gegey yang terkenal dengan air viral atau air extreme Gegey, air yang dihiasi dengan pelbagai jenis kek dan biskut kini membuka cawangan di Presint Diplomatik, Putrajaya.

Beroperasi sejak tiga bulan lalu, restoran ini memperkenalkan hidangan terbaharu, Gegey Pocket, iaitu roti paratha yang diadun sendiri cef Gegey dan diisi daging kambing atau ayam dengan sos lada hitam dan sos campuran diadun sendiri, ditambah sayur yau mak tam atau romaine lettuce yang ranggup.

Nasi Sup tulang Gegey turut menambah kepelbagaian menu terbaharu restoran ini yang dihidangkan bersama-sama nasi putih dan telur dadar serta sambal belacan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gegey, Wan Mohd. Zhafran Wan Zulkiffeli, 34 dan isteri yang juga bekas peserta MasterChef Malaysia musim pertama pada 2011, Deena Nalisa Mohd. Zain, 34, restoran terbaharu ini boleh memuatkan lebih 100 orang pada satu-satu masa.

Selain surau, Gegey mengekalkan kemudahan untuk kanak-kanak iaitu taman permainan di setiap restoran selain dekorasi ala `hipster’.

Mula beroperasi dengan hidangan nasi Gegey iaitu nasi putih bersama kuah gulai ayam dan sambal belacan serta keropok dengan pilihan ayam cincang, ayam kampung goreng atau daging goreng, kini Gegey menyajikan tiga lagi menu nasi popular.

Hidangan nasi kerabu dihidang dengan pilihan ayam sama cuma ditambah dengan ayam percik dan kambing bakar, nasi peemak iaitu nasi putih bersama ayam masak pedas, kuah lemak dan keropok serta nasi Gapo iaitu nasi putih bersama ayam kicap dan kuah sup ayam dan keropok.

Namun Mohd. Zhafran secara peribadi mengesyorkan nasi Gegey kepada pelanggan baharu yang mahu mencuba hidangan di restoran ini.

Dengan konsep layan diri, restoran ini menetapkan prosedur operasi standard (SOP) untuk makanan siap dihidang kepada pelanggan dalam tempoh 20 minit.

Selain terkenal dengan hidangan tempatan, Gegey turut menyediakan pilihan 40 menu makanan barat bagi memberi kelainan citarasa kepada pelanggan.

Hidangan `platter’ diperkenalkan tahun lalu dihidang menggunakan dulang yang amat bersesuaian untuk sajian seisi keluarga.

Big western platter menyajikan dua hidangan chicken chop, lamb chop, lima ketul kepak ayam, 15 ketul bebola daging, kentang goreng cheezy dan dua mangkuk aglio olio manakala small western platter juga mengandungi dua hidangan chicken chop, empat ketul kepak ayam, 10 biji bebola daging dan kentang goreng cheezy serta aglio olio.

“Walaupun kami menyediakan hidangan barat, pelanggan masih tetap memilih nasi Gegey atau nasi kerabu untuk menjamu selera setiap hari cuma ketika pada hujung minggu makanan barat menjadi pilihan pelanggan berkeluarga dan remaja,’’ kata Mohd. Zhafran.

Ketika ditanya tentang air extreme Gegey yang viral, Mohd. Zhafran berkata, dia mendapat ilham mencipta minuman pelik untuk menarik pelanggan ketika Gegey mula beroperasi di Dengkil pada 2016.

“Kelainan air viral ini menarik perhatian golongan remaja yang kemudian menularkannya dalam laman sosial,’’ katanya.

Menurut Mohd. Zhafran ketika itu pelanggan terpaksa beratur panjang dan menunggu kira-kira dua jam untuk mendapatkan minuman ini namun dengan pembukaan restoran cawangan di Dengkil dan Seksyen 7 Shah Alam, pelanggan tidak perlu menunggu lama.

Namun air viral pelbagai rasa yang dihiasi dengan kek pelangi, kek velvet, brownies yang dihasilkan sendiri oleh Gegey selain biskut Orea, ketulan Milo dan krim putar coklat masih menjadi antara menu paling laris di restoran Gegey.

Kesemua hidangan air di Gegey bermula pada harga RM2 sehingga RM15.90 dan makanan barat pula berharga RM6 sehingga RM75 sementara hidangan nasi pula daripada RM6.50 sehingga RM14.90

Kelainan air viral ini menarik perhatian golongan remaja yang kemudian menularkannya dalam laman sosial malah kami sendiri tidak menyangka air ini mendapat sambutan yang hebat daripada pelanggan

INFO

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini