KUALA LUMPUR 27 Mac – Keuntungan bersih Gamuda Bhd. merosot 23 peratus tahun ke tahun kepada RM173.14 juta pada suku kedua berakhir 31 Januari 2019 berbanding RM224 juta pada tempoh yang sama 2018.
Menurut Gamuda, prestasi itu susulan syarikat berkenaan tidak lagi menerima perkongsian keuntungan Syarikat Pengeluar Air Keuntungan Selangor Holdings Bhd. (Splash).
Katanya, sebanyak 40 peratus kepentingan syarikat konsesi air itu yang sebelum ini milik Gamuda telah dijual kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. pada RM2.55 bilion tahun lepas. Bayaran pendahuluan sebanyak RM1.9 bilion dijangka diterima pada Mac 2019.
“Keuntungan daripada operasi susut 10 peratus kepada RM162.51 juta daripada RM179.95 juta bagi tempoh yang sama,” menurut Gamuda dalam laporan kewangan terkininya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Perolehan pada suku kedua berakhir 31 Januari 2019 bagaimanapun meningkat kepada RM1.13 bilion daripada RM998.92 juta pada tempoh yang sama 2018.
Mengenai prospek tahun semasa, Gamuda menjangkakan prestasi 2019 dipacu oleh jualan hartanah luar negara terutama di Vietnam dan Singapura selain kemajuan pembinaan Transit Aliran Massa Laluan 2 terus mencatatkan kadar peningkatan serta sumbangan pendapatan kukuh daripada bahagian lebuh raya. – UTUSAN ONLINE











