IPOH – Seorang gadis sekali lagi diselubungi rasa tertekan selepas gambar dan video bogelnya yang lama akan disebarkan bekas teman lelaki sekiranya beliau tidak memberikan gambar bogel terkini.
Gadis yang mahu dikenali sebagai Ng, 20, berkata, kali pertama dia diugut perkara sama pada tahun 2015 dan ketika itu dia masih belajar di tingkatan enam sebelum dia menurut kehendak bekas teman lelakinya itu.
“Perkara tersebut berlanjutan selama tempoh lapan bulan sebelum guru mengetahui perbuatan saya berkongsi gambar bogel kepada teman lelaki dan dia menyuruh saya membuat laporan polis bagi mengekang perbuatan tidak bermoral lelaki itu.
“Perkara itu berhenti seketika selepas laporan polis dibuat namun pada Jumaat lalu, saya dihubungi kembali oleh seorang lelaki dipercayai bekas teman lelaki saya dan dia mengugut untuk menyebarkan kembali gambar dan video bogel saya yang lama sekiranya tidak mahu memberikan gambar bogel terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini. Turut hadir ibu mangsa dan Ketua Biro Pengaduan Perkhidmatan Awam MCA, Low Guo Nan.
Ng yang bekerja sebagai jurujual di Singapura itu membuat laporan polis kedua hari ini agar polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap bekas teman lelakinya itu.
“Kali ini bekas teman lelaki saya bersama dua lagi rakannya berpakat untuk menyebarkan gambar dan video lama saya ke dalam media sosial.
“Saya harap pihak polis dan SKMM mengambil tindakan sewajarnya kerana saya tertekan dengan keadaan ini yang memalukan saya serta keluarga,” katanya.
Sementara itu, Guo Nan berharap pihak polis dan SKMM mengambil tindakan serius dalam perkara tersebut memandangkan gadis berkenaan ingin memulakan kehidupan baharu bersama teman lelaki baharunya.
“Orang ramai juga dinasihatkan mengambil pengajaran dengan kejadian ini dan berhati-hati agar tidak berkongsi gambar serta video yang boleh diambil kesempatan oleh pihak lain,” katanya. – K! ONLINE











