KUALA LUMPUR – Program Food Bank Malaysia yang merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat telah memanfaatkan seramai 45,850 anggota isi rumah sehingga Februari lepas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, program itu yang juga bertujuan mengurangkan pembaziran, turut berjaya menyelamatkan 1,055 tan metrik lebihan makanan.
“Dalam melaksanakan inisiatif ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menghubungkan pihak industri yang mana merangkumi bukan sahaja pasaraya malah pengeluar produk makanan, restoran dan hotel dengan rakan strategik kementerian iaitu Mutiara Food Bank, Food Aid Foundation dan KECHARA Soup Kitchen bagi membantu menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran.
“Dengan adanya program Food Bank Malaysia ini, kita ingin memastikan tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang kelaparan”, katanya pada majlis pelancaran program Food Bank Malaysia bagi Parlimen Pandan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – Bernama











