KUALA LUMPUR 2 Mac – Barisan kejurulatihan dan pemain skuad futsal Perlis boleh menarik nafas lega seketika apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menangguhkan pandaftaran pasukan bagi Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) yang berakhir, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Rosmadi Ismail berkata, penangguhan pendaftaran pasukan MPFL merupakan bentuk bantuan yang diberikan oleh badan induk tersebut untuk memberi peluang kepada barisan kejurulatihan dan pemain Perlis mencari pasukan baharu.

“FAM telah menangguh pendaftaran MPFL sehingga 10 Mac dan ini bermakna, pemain dan pegawai skuad futsal Perlis mempunyai masa selama 10 hari untuk mencari pasukan baharu.
“Saya fikir perkara ini tidak sepatutnya berlaku, dengan perancangan awal yang dilakukan oleh Perlis, malah, banyak pemain senior dan kebangsaan menyertai pasukan itu. Apabila jadinya perkara seperti ini, ia telah mengganggu fokus pemain yang sudahpun bersedia untuk mengharungi cabaran bersama Perlis.
“Di peringkat FAM pula, apabila Perlis tidak mendaftar ia telah merencatkan persiapan kami. Bagaimanapun, FAM tidak boleh mempengaruhi mana-mana pasukan untuk mengambil pemain Perlis. Kami cuma beri kelonggaran sehingga 10 Mac ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Menerusi laporan Utusan Malaysia, semalam, skuad futsal Perlis dilanda badai apabila jurulatihnya Qusmaini Noor Rusli mendedahkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) masih gagal melangsaikan tunggakan gaji 25 pemain dan tujuh jurulatih selama dua bulan yang secara keseluruhan bernilai RM194,800 dan status mereka juga tergantung kerana tidak didaftarkan dalam MPFL.
Rosmadi yang merupakan pengurus skuad futsal kebangsaan berkata, beliau tidak menolak ada kemungkinan berlaku penambahan pasukan untuk menyertai MPFL selepas Perlis tidak mendaftarkan pasukan mereka.
“MPFL ada 10 pasukan, bila jadi macam ini tinggal sembilan manakala futsal wanita pula jadi empat daripada lima pasukan sebab Perlis tidak hantar wakil. Ada kemungkinan FAM beri tawaran kepada mana-mana pasukan untuk menyertai liga ini bagi memastikan kemeriahannya,” ujarnya.









