KUALA LUMPUR 6 Mac.- Selepas meneliti jaringan menarik Syahmi Safari ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF pada 5 Disember 2018, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebulat suara bersetuju dicalonkan ke Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2019.
Keputusan menghantar cadangan pencalonan itu dibuat selepas mesyuarat peringkat Sekretariat Agung FAM, hari ini yang turut disertai Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya menghantar surat cadangan pencalonan bagi menyatakan sokongan penuh kepada pemain Malaysia namun keputusan sama ada tercalon dalam senarai 10 jaringan terbaik atau tidak, ia akan ditentukan oleh FIFA.
“Susulan daripada keputusan itu, FAM akan menghantar surat rasmi kepada FIFA bagi mencadangkan gol dijaringkan Syahmi sebagai salah satu calon anugerah Puskas.
“FAM turut akan melampirkan salinan video gol tersebut untuk dinilai oleh FIFA. Senarai 10 calon gol tercantik untuk anugerah itu nanti akan dicadangkan dan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya.
“FAM berpendapat surat cadangan pencalonan tetap perlu dihantar kepada FIFA sebagai tanda sokongan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian FIFA,” kata Stuart.
Badan induk bola sepak negara itu, sebelum ini turut menghantar surat cadangan pencalonan kepada FIFA untuk gol dihasilkan bekas pemain Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri menerusi sepakan percuma unik.
Cadangan FAM itu, akhirnya membawa kejayaan kepada Faiz muncul pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 sekali gus memahat sejarah sebagai pemain dari Malaysia pertama memenangi anugerah berkenaan. -UTUSAN ONLINE











