Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengambil langkah proaktif dengan menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai yang melibatkan lima pasukan dengan jumlah keseluruhan RM2,517,959.40.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan, sebanyak RM1,178,600 telah berjaya dibayar dengan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh badan induk bola sepak negara tersebut.
“Tunggakan pasukan PDRM FA telah pun dikreditkan terus ke akaun individu yang terlibat pada 19 Februari lalu sementara pasukan Felcra FC, MOF FC dan DBKL FC menerimanya pada 5 Mac lepas dan pasukan Terengganu City FC pula pada hari ini (semalam).
“Sementara tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tiga lagi pasukan iaitu Felda United, Hanelang FC dan Marcerra United yang berjumlah RM1,339,359.40 sedang dalam proses pembayaran dan dijangka dapat dikreditkan terus ke akaun individu yang terlibat dalam beberapa minggu lagi.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan tunggakan gaji pemain dan pegawai yang berjaya diselesaikan FAM dengan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh persatuan adalah berjumlah RM2,517,959.40,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Bagaimanapun, Stuart memberitahu, pembayaran tersebut bukan merupakan keseluruhan tunggakan gaji kerana jumlah yang dinyatakan tersebut berdasarkan jumlah wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh FAM ke atas setiap pasukan terbabit.
“Baki tunggakan gaji yang masih ada tetap perlu diselesaikan oleh pasukan-pasukan berkenaan. FAM berharap pasukan yang terlibat memiliki rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan baki tunggakan tersebut,” katanya lagi.











