PUTRAJAYA 26 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini melancarkan Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak Dalam Daftar Kanak-kanak (eDKK) bagi membolehkan semakan terhadap rekod jenayah seksual terhadap golongan itu.
Menerusi sistem tersebut, individu atau agensi yang mengambil kakitangan dalam sektor pekerjaan melibatkan kanak-kanak boleh membuat semakan secara percuma di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap bakal kakitangan terbabit bermula 1 April ini.
Pengenalan sistem berkenaan sekali gus mempertingkatkan perlindungan dan keselamatan terhadap kanak-kanak serta mengekang atau mencegah jenayah terhadap golongan itu daripada terus berlaku atau berulang.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, sistem berkenaan mengandungi nama-nama mereka yang disabitkan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dari 2017 hingga 28 Februari lalu.
“Ini fasiliti juga bagus untuk membantu ibu bapa dan pihak sekolah untuk memperketatkan perlindungan kanak-kanak apabila mereka hantar ke sekolah atau pengasuh.
“Kita ada senarai nama lebih dari 3,000 nama dan angka ini akan bertambah. Tetapi setakat 28 Februari lalu, kita ada data. Ia akan dikemas kini secara bulanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran berkenaan di sini.
Tambah Hannah, sistem pangkalan data tersebut merupakan fasiliti fasa pertama dalam usaha kerajaan menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan ke arah memajukan satu sistem yang komprehensif pada masa depan.
Jelasnya, sistem itu hanya memberi jawapan ‘tiada rekod’ atau ‘ada rekod’ dan bagi kes ‘ada rekod’, pihaknya akan memerlukan masa untuk membuat semakan dengan mahkamah sama ada kes itu sedang dirayu dan kemudiannya, keputusan semakan berkenaan akan dimaklumkan kepada pemohon.
“Semua ibu bapa dan majikan boleh ke mana-mana pejabat JKM di peringkat negeri dan daerah untuk semakan. Kalau hendak semak nama pengasuh atau kalau sekolah hendak mengambil cikgu baharu ke sekolah, mereka boleh datang dengan membawa nombor kad pengenalan individu yang hendak disemak, tanpa caj dikenakan.
“Kalau hendak semak di JKM negeri, keputusannya adalah serta merta tetapi di JKM daerah memerlukan masa lima hari untuk semakan,” katanya.
Sementara itu, Hannah memberitahu, golongan ibu bapa perlu terus berwaspada terhadap keselamatan anak-anak mereka walaupun melibatkan individu yang tidak mempunyai rekod jenayah seksual kanak-kanak ekoran statistik menunjukkan kebanyakan pesalah terdiri daripada mereka yang melakukannya buat pertama kali.
“Statistik menunjukkan terdapat 314 kes dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan daripada itu, sebanyak 300 pesalah merupakan pesalah kali pertama,” katanya. – UTUSAN ONLINE











