PUTRAJAYA 15 Mac – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dapat dimuktamadkan April ini.
“Kadangkala dalam rundingan, anda boleh menetapkan tarikh pembatalan atau penutup tapi kadangkala, ada perkara berbangkit yang menghalang kita daripada menepati tarikh.
“Walau bagaimanapun, sasaran kita (untuk dimuktamadkan) adalah pada April,” kepada pemberita selepas menyerahkan kad keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada wakil rakyat dari Sabah di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini hari ini.
Ditanya berhubung pendiriannya terhadap permit import (AP), Dr. Mahathir berpendapat bahawa perlunya peraturan-peraturan sewajarnya dalam memantau pemberiannya.
Selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Keempat, jelas beliau, AP telah diberikan kepada semua orang dan berikutan itu, terdapat individu yang menjadi kaya.
“AP merupakan jalan untuk orang yang bukan dari perniagaan automotif untuk menceburi perniagaan itu dengan mudah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











