Dua wira negara terima Pingat Bakti - Utusan Malaysia

Dua wira negara terima Pingat Bakti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 4 Mac – Dua daripada enam wira negara yang terkorban dalam operasi menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Cyberjaya tahun lalu menerima Pingat Jasa Bakti dalam Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan 2018 Kali Kedua sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V Ke 49.

Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan menyampaikan pingat Jasa Bakti kepada Allahyarham Izatul Akma Wan Ibrahim dan Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik Shaari yang telah diwakili keluarga masing-masing dalam istiadat yang berlangsung di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Mereka berdua yang berasal dari Pasir Mas adalah antara enam anggota bomba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang maut dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Cyberjaya pada 3 Oktober tahun lalu.

Empat lagi anggota bomba yang terkorban dalam kejadian paling tragis pernah menimpa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah Mohd Fatah Hashim; Mazlan Omarbaki; Adnan Othman dan Yahya Ali.

Istiadat pengurniaan hari ini adalah kali kedua selepas sesi pertama berlangsung pada November tahun lalu.

Pada kali ini, seramai 393 penerima menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat.termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang menerima Darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, Mukhriz berkata, beliau sangat bersyukur dengan pengurniaan darjah kebesaran yang diterima itu dan berharap ia dapat merapatkan lagi hubungan antara dua buah negeri ini.

“Saya bersyukur dan ucapkan banyak terima kasih atas kurniaan Sultan Kelantan, ini satu kemuliaan yang sangat bermakna pada diri saya

“Saya tertanya juga apa agaknya jasa saya kepada negeri ini selain pernah belajar di sini selama lima tahun, saya tinggal di Kelantan lama dan negeri ini sangat akrab (di hati),” katanya.

Mukhriz telah mengikuti pengajian peringkat sekolah menengah dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN