SEREMBAN – Seorang Timbalan Pengarah (Pengurusan) dan seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan ditahan reman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula hari ini.
Kedua-dua wanita masing-masing berusia 42 dan 38 tahun berkenaan ditahan reman bagi membantu siasatan agensi pencegahan rasuah itu berhubung tuntutan palsu bernilai RM17,856.
Perintah tahan reman dikeluarkan oleh Majistret Rahimah Rahim selepas permohonan dikemukakan Pegawai Pendakwa SPRM Negeri Sembilan, Mohd Khairi Abdul Karim.
Mereka disyaki bersubahat membuat pengesahan penerimaan bekalan atau perkhidmatan bagi Program Pengurusan Menangani Konflik Pegawai di Tempat Kerja di Depot Imigresen Lenggeng di sini.
Program berkenaan tidak dijalankan, malah tiada bekalan atau perkhidmatan dibuat dan kesalahan itu didakwa dilakukan pada 21 November tahun lalu.
Kedua-dua suspek ditahan pada pukul 5.50 petang dan 6 petang di pejabat Imigresen Negeri Sembilan semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun. – K! ONLINE











