AMPANG – Dua pekerja lelaki projek pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) berhampiran persimpangan Taman Kosas, Jalan Ampang di sini cedera ringan selepas sebuah struktur rasuk (beam) konkrit terjatuh di tapak tersebut pagi tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu terjadi dalam kawasan pembinaan tersebut dan tidak melibatkan sebarang kerosakan atau kecederaan terhadap orang awam.
Pemaju Lebuh Raya SUKE dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa dua pekerja tersebut cedera dan telah dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.
“Kerja-kerja pembinaan telah dihentikan dengan serta-merta dan keadaan sekitar adalah terkawal dan tidak menyebabkan kesesakan trafik.
“Pihak kami sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kejadian tersebut.” katanya.
Difahamkan, ketika kejadian, struktur berkenaan terjatuh secara tiba-tiba selepas ia siap dipasang oleh pekerja lalu menyebabkan kecederaan kepada seorang pekerja warga tempatan dan Indonesia. – K! ONLINE











