KOTA TINGGI – Dua nelayan berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka mengalami kerosakan sebelum karam di Tanjung Lompat di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 10 malam itu, tekong bot, Heng Bak Chai, 62, dan awak-awak, Tang Kok Chin, 54, bagaimanapun terselamat selepas mereka berenang ke pantai berdekatan.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, ketika kejadian, bot nelayan tersebut sedang belayar dari Pulau Ketam, Klang, Selangor menuju ke Endau, Pahang untuk memasuki limbungan bagi tujuan pembaikan.
“Maklumat daripada mangsa, semasa sedang belayar, enjin bot tersebut telah mengalami kerosakan mengakibatkan bot telah dimasuki air dan karam di kedudukan lebih kurang 50 meter dari pantai Hotel Tiara Desaru berhampiran Tanjung Lompat, Kota Tinggi.
“Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor telah menerima maklumat tersebut kira-kira pukul 10 malam semalam melalui pengadu yang merupakan rakan kepada mangsa sebelum Op Carilamat (SAR) diaktifkan pada pukul 10.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aminuddin berkata, pasukan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian mendapati bot nelayan tersebut telah terdampar dalam keadaan separuh tenggelam berhampiran pantai.
Jelasnya, MRSC Johor mendapat kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Pengerang mengatur gerak mencari mangsa melalui jalan darat sebelum mereka ditemui kira-kira pukul 11.30 malam.
Beliau berkata, mangsa telah dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk membuat laporan Polis berkaitan kejadian. – K! ONLINE











