KUALA LUMPUR 11 Mac – Dua maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan di Kampung Sepupuk, Niah, Sarawak, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, dua mangsa wanita berusia 37 dan 42 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Batu Niah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, kemalangan tersebut membabitkan dua kenderaan jenis Proton Persona dan Toyota Hilux.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.19 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian, didapati semua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Batu Niah.
“Dua lelaki yang menaiki Proton Persona dan seorang lelaki memandu Toyota Hilux cedera ringan serta mendapat rawatan di klinik sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE











