Dr. Mahathir lawat Filipina perkukuh hubungan dua hala - Utusan Malaysia

Dr. Mahathir lawat Filipina perkukuh hubungan dua hala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 5 Mac – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan rasmi ke Filipina pada 6 dan 7 Mac ini dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala.

Menurut Wisma Putra, lawatan  bertemakan `Partners for Progress, Brothers for Peace’  adalah sebahagian daripada siri lawatan pengenalan beliau ke negara-negara Asia Tenggara selepas menyandang jawatan Perdana Menteri pada 10 Mei 2018. 

Jelasnya, Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali akan diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.  

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semasa lawatan ini, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat beliau, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, disusuli dengan makan malam rasmi. Perdana Menteri juga dijadual akan mengadakan perjumpaan dengan rakyat Malaysia di Filipina.

“Lawatan ini akan membuka peluang untuk kedua-dua pemimpin memperkukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama di antara Malaysia dan Filipina. Lawatan ini juga membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar-dasar terkini kerajaan dan pendirian negara khususnya berkenaan isu-isu yang mempunyai manfaat bersama.

“Di samping itu, kedua-dua pemimpin juga akan turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Wisma Putra, lawatan itu juga akan terus menambah momentum kepada proses pungutan suara bagi Undang-undang Organik Bangsamoro yang telah diadakan pada 12 Januari dan 6 Februari 2019 bagi mendapatkan persetujuan penduduk tempatan.

“Malaysia komited kepada Proses Damai Mindanao dan berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan sebagai Fasilitator dalam Proses Damai ini untuk memastikan keselamatan dan kestabilan dapat dicapai di Filipina dan rantau ini,” tambahnya.  

Wisma Putra memaklumkan, dalam kerjasama ekonomi, jumlah perdagangan Malaysia-Filipina yang direkodkan pada tahun 2018 adalah sebanyak AS$ 6.45 bilion (RM26.29 bilion), tumbuh sebanyak 8.8 peratus berbanding AS$5.93 bilion (RM24.17 bilion ) pada tahun sebelumnya. 

Eksport negara dicatatkan berjumlah AS$ 4.19 bilion (RM17.08 bilion) meningkat sebanyak 8.4 peratus,  manakala import  berjumlah AS$2.27 bilion (RM9.25 bilion) peningkatan sebanyak 8.7 peratus  pada tahun 2018. 

“Filipina merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di kalangan negara-negara anggota ASEAN dan rakan dagang ke-15 terbesar di dunia,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini