JOHOR BAHRU 26 Mac – Golongan muda bukan sahaja perlu menjadi generasi yang bijak pandai dalam segenap aspek tetapi mereka juga perlu melengkapkan diri dengan menonjolkan sikap serta peribadi mulia terhadap masyarakat menerusi pelbagai platform.
Justeru, bagi memenuhi tujuan asal peranan anak muda, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dewan Muda Johor (DMJ) mengambil inisiatif tersendiri dengan menganjurkan DMJ Awaydays 2019 di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram di sini baru-baru ini.
Menerusi program dianjurkan antara lain untuk mengeratkan hubungan sesama ahli mereka yang dianggotai lebih 50 anak muda dari negeri ini berusia 35 tahun ke bawah, DMJ turut mengadakan aktiviti bersama-sama masyarakat setempat.
Ahli DMJ, Onn Mahathir Md. Nasir berkata, program khidmat bakti bersama penduduk setempat itu dilakukan secara sukarela dalam kalangan ahli menerusi usaha membentuk sahsiah, peribadi dan kepemimpinan anak muda kepada masyarakat.
Katanya, bagi program pertama, DMJ melaksanakan program pembersihan dan mengecat semula rumah milik seorang warga emas di Kampung Bandar Ulu Tiram sebelum mengadakan gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiram.
Onn Mahathir berkata, DMJ percaya aktiviti seumpama itu boleh dijadikan platform anak muda untuk membuktikan kepada masyarakat tentang keberadaan belia yang juga mempunyai keinginan menjalankan program menabur khidmat bakti.
“DMJ tidak mahu anak muda dilabelkan sebagai golongan yang hanya pandai berkata-kata tetapi tiada terjemahan dari segi tindakan dan atas sebab itu, kita anjurkan Program DMJ Awaydays ini yang cuba dianjurkan dengan lebih kerap.
“Program ini merupakan platform yang cukup baik yang mana belajar atau bekerja di luar Johor dapat balik ke negeri ini bersama-sama turun bertemu masyarakat. Di sini mereka akan merasai denyut nadi masyarakat yang mana kita sendiri tidak sedar ada golongan yang memerlukan perhatian daripada anak muda,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, selain menjalankan program khidmat bakti, DMJ turut mengadakan sesi penulisan, program bersama media, pengucapan awam dan aktiviti bersukan sesama ahli bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara mereka.
Onn Mahathir memberitahu, DMJ turut merancang untuk menganjurkan beberapa program khidmat bakti ke seluruh negeri ini pada masa akan datang sejajar usaha menguar-uarkan kepada pelbagai lapisan rakyat tentang kewujudan DMJ.
Sementara itu, bercerita mengenai DMJ, Onn Mahathir berkata, ia adalah anjuran Angkatan Demokrasi Milenials Bersekutu (MUDA) iaitu sebuah NGO bebas, aktif dan mampu menampilkan golongan muda untuk berperanan dalam setiap agenda pembangunan demi masa depan Johor.
Katanya, DMJ nekad untuk memastikan suara dan luahan anak muda yang dahulunya dianggap keriuhan di jalanan kini menjadi daya kuat dalam memeta hala tuju negeri khususnya dan negara amnya.
“DMJ merupakan platform terbuka dan bebas yang mengumpulkan anak muda Johor pelbagai latar belakang bagi membincang serta membahaskan usul berkaitan dasar kerajaan negeri,” katanya.











