Dituduh mencuri, remaja lelaki ditampar pengawal keselamatan - Utusan Malaysia

Dituduh mencuri, remaja lelaki ditampar pengawal keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Mac – Polis telah merakam percakapan pengawal keselamatan yang didakwa menampar seorang remaja lelaki kerana disyaki mencuri dalam kejadian di Kedai Buku MPH di pusat membeli-belah Nu Sentral, di sini dua hari lalu.

SEORANG remaja lelaki ditampar dua kali oleh pengawal keselamatan di kedai buku tersebut selepas dituduh mencuri buku di Kedai Buku MPH di Pusat Membeli-belah Nu Sentral.-UTUSAN ONLINE/GAMBAR MEDIA SOSIAL

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Md. Isa berkata, pihaknya telah menerima laporan polis berkaitan kejadian tersebut dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rakaman percakapan kedua-dua pihak telah dilakukan dan kita akan melengkapkan siasatan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun telah ditampar sebanyak dua kali oleh pengawal keselamatan di kedai buku tersebut selepas dituduh mencuri buku.

Bapa mangsa, Lim Yaw dalam muat naik kenyataan di Facebook miliknya memaklumkan, pengawal keselamatan tersebut sebelum itu mengheret anaknya ke dalam bilik sambil memanggil beberapa pengawal keselamatan lain untuk memeriksa beg galas anaknya.

Bagaimanapun, pertikaian itu berakhir apabila pengawal keselamatan tersebut mendapati terdapat pelekat ‘PAID’ di bahagian belakang buku tersebut menandakan pembayaran telah dibuat.

Sementara itu, MPH dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil serius perkara itu dan telah mengambil tindakan menggantung tugas pengawal keselamatan terlibat sementara siasatan dijalankan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini