KAJANG – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan memperdayakan mangsa dengan pakej pelancongan yang tidak wujud November 2017 hingga Mei tahun lalu.
Tertuduh, S. Devan Kumar, 20-an, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.
Mengikut pertuduhan, dia telah menipu N. Athiledcumy dengan curangnya mendorong mangsa untuk mempercayai pakej pelancongan ke Turki pada Februari 2019 itu wujud sehingga mangsa membayar RM4,999.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 November 2017 hingga 15 Mei 2018 di Sentral Business Park, Jalan TKS 1, Taman Kajang Sentral.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang setahun, sebat atau denda.
Timbalan Pendakwa Raya, R. Siamalah kemudiannya menawarkan jaminan RM9,000 namun tertuduh minta jaminan dikurangkan.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,500.
Sebutan semula kes ditetapkan 8 April nanti. – K! ONLINE











