SEBELUM melangkah masuk dalam industri hiburan ini empat tahun lalu, dia sudah mempersiapkan mental dan fizikalnya untuk berdepan dengan apa jua cabaran mendatang.
Dia juga perlu lebih beriltizam untuk berdepan dengan apa jua asam garam anak seni.
Justeru tidak hairanlah jika hari ini Janna Nick, 23, dilihat begitu tenang berdepan dengan situasi yang rumit. Walaupun dalamannya ‘koyak’, sedaya-upaya dia berlagak biasa di khalayak umum kerana enggan dilihat seorang yang mudah mengalah.
Alang-alang sudah menempuh pelbagai ujian dalam bidang glamor ini, pelakon yang dikenali

menerusi drama Syurga Nur ini tidak boleh dengan mudah mengangkat bendera putih. Sedangkan perjalanan anak seni itu masih baharu lagi.
“Setiap kali berdepan dengan permasalahan membabitkan kerja, pasti psikologi dan dalaman saya ini berperang membuat pertimbangan tersendiri. Itu belum lagi masuk bab ego yang selalunya menjadi musuh nombor satu dalam diri.
“Atas sebab itu, saya memerlukan ruang yang secukupnya untuk menenangkan fikiran sebelum bertindak atau membuat keputusan,” kata Janna berkongsi cara tersendiri mengawal emosi setiap kali dihimpit kontroversi.
Mengakui perjalanan kerjayanya selama ini sentiasa sensasi, pelakon drama Kau Aku Kita mengakui dia tidak pernah terfikir boleh jadi sebegitu. Walhal dia hanya sekadar mengikut arus perjalanan yang ditentukan di depan mata.
Tidak pernah berasa sesal sebaliknya anak kedua daripada empat adik-beradik ini menganggap apa yang terjadi adalah sebahagian daripada proses kehidupan. Semua itu adalah pengajaran paling bermakna agar dirinya lebih berjiwa kental pada masa depan.
“Orang tuduh saya kaki gaduh, cakap lepas, gemar provokasi dan mencipta gimik untuk meraih publisiti murahan, semua itu adalah pandangan dari mata kasar mereka. Jika mereka berada dalam kedudukan saya, barulah mereka faham kenapa setiap tindakan itu dibuat.
“Saya tidak kata saya bagus, hebat atau sempurna. Cuma barangkali ada kekhilafan dalam diri yang orang luar tak boleh terima. Tak mengapalah, asalkan saya masih boleh mengawal pertimbangan waras, pasti ia tidak mencetuskan perkara yang lebih besar,” katanya.
Antara kontroversi membabitkan Janna yang pernah tercetus adalah mengenakan bayaran perkhidmatan ucapan hari jadi sebanyak RM50 serta penyebaran gambar seolah-olah sedang bercium dengan pelakon Eyka Farhana hingga didakwa menyokong hubungan songsang sebelum ini.
Terkini, pelakon drama Dia ini sedang ‘berperang’ dengan Sheila Rusly yang sebelum ini dilihat amat akrab. Perselisihan itu tercetus selepas penerbit itu memuat naik kenyataan berbaur sindiran yang mengatakan pelakon itu tidak mengenang jasanya.

Hubungan mereka dikatakan lebih retak dan dingin selepas Sheila tidak lagi mengikuti Janna di Instagram tidak lama kemudian.
KOMEN NEGATIF
PENYANYI lagu Mungkin Saja ini memberitahu kelemahannya untuk mengurangkan sedikit kelantangan kata-katanya itu kadang kala mencetuskan rasa kurang senang segelintir pihak.
Malah dia juga pernah menanam azam untuk berkelakuan baik sejak tahun lalu.
Tujuannya agar Janna tidak melatah pada setiap komen negatif yang dilemparkan pihak tertentu terhadapnya. Serangan kata-kata negatif yang bermaksud untuk merendahkan motivasi diri itu pasti awal-awal lagi diusir pergi demi kebaikan diri.
Begitu yang terjadi pada saat ramai mengecam lakonannya menerusi drama Leftenan Zana yang sedang ditayangkan di TV3. Dia dikritik gara-gara seorang anggota tentera meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan cara pemakaian baju seragam pasukan tentera yang disarungnya.
Etika pemakaian pelakon terbabit dalam naskhah yang sama itu juga dikatakan telah
menjejaskan imej ketenteraan yang dipandang tinggi masyarakat. Ia sepatutnya diberi penekanan dan pemantauan daripada pihak produksi dan pegawai terlibat.
“Saya terbuka untuk menerima setiap teguran daripada pihak luar yang lebih berpengalaman. Tapi dalam soal pemakaian untuk drama berkenaan, kami dipantau sepenuhnya oleh pegawai yang bertugas daripada Kementerian Pertahanan (Mindef).
“Kekeliruan yang timbul tercetus apabila ada gambar memakai baju askar yang tidak lengkap tersebar. Sedangkan dalam drama tersebut, kita berpakaian lengkap. Soal pakaian amat dititikberatkan kerana tidak mahu tercetus kontroversi selepas urusan penggambaran selesai,” ujarnya.
RAMBUT PANJANG
SETELAH hampir dua tahun kekal dengan imej rambut pendek, sudah tiba masanya Janna mengubah stail imejnya itu. Pelakon My Coffee Prince ini berazam untuk menyimpan rambut panjang selepas ini.
Ini kerana pernah beberapa kali dia berdepan dengan dilema untuk memenuhi watak yang mengkehendaki dirinya berambut panjang sebelum ini. Secara tidak langsung imej rambut pendeknya itu kadangkala menyukarkan dirinya sendiri untuk menjayakan watak sebegitu.
“Saya maklum seorang pelakon itu tidak boleh terhad kepada satu imej semata-mata, nanti dilihat statik. Atas sebab itu, saya mahu menyimpan rambut panjang untuk mencipta lebih banyak kelainan pada wajah berbanding bergantung kepada pemakaian rambut palsu.
“Walaupun secara peribadi saya gemar berambut pendek kerana ia lebih mudah dan cepat untuk urusan harian. Bagaimanapun demi memenuhi kehendak watak, saya mengalah,” katanya lagi.
Bagi memastikan kepuasan dalam persembahan lakonan, Janna juga memutuskan untuk memilih naskhah yang berkualiti selepas ini. Pada masa yang sama, dia juga tidak mahu mengabaikan masa berkualiti yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga tercinta.











