PASIR GUDANG 13 Mac – Dewan Komuniti Taman Pasir Putih di sini yang dijadikan pusat rawatan awal bagi mangsa pencemaran toksik di Sungai Kim Kim kembali cemas dan sesak apabila dipenuhi ratusan mangsa yang terkesan.
Mereka merupakan pelajar dari beberapa sekolah rendah dan menengah sekitar kawasan kejadian setelah mengalami pening, loya dan muntah malah ada yang pengsan.
Seorang pelajar yang mendapatkan rawatan awal, Aida Mohd. Fazli, 16, berkata, pada mulanya merasa pedih mata ketika berada dalam kelas pada pagi ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex itu berkata, selepas mengadu perkara tersebut kepada pihak guru lalu dihantar ke dewan untuk mendapatkan rawatan.
“Doktor yang merawat saya memaklumkan keadaan saya stabil dan hanya perlu mendapatkan rehat secukupnya di rumah. Saya juga berasa sudah semakin stabil,” katanya ketika ditemui di sini.
Pelajar perempuan itu merupakan antara ratusan mangsa yang mendapatkan rawatan awal di dewan komuniti tersebut, hari ini.
Sementara itu, ibu kepada seorang mangsa, Aida Abdullah, 40, dimaklumkan anaknya antara yang terjejas akibat pencemaran toksik menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp kelas anaknya.
“Pihak sekolah memaklumkan anak saya mengalami simptom sesak nafas, muntah dan keletihan dan perlu mendapatkan rawatan awal.
“Saya bergegas ke sekolah sebelum dimaklumkan anak saya telah dibawa untuk mendapatkan rawatan awal di dewan ini,” ujarnya yang merupakan seorang suri rumah.











