DEUM nafi bakal beri 800,000 kad makanan - Utusan Malaysia

DEUM nafi bakal beri 800,000 kad makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia (DEUM) menafikan akan memberikan 800,000 Hopecard kepada mahasiswa yang meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebaliknya hanya kad royalti sahaja.

Yang Dipertua DEUM, Datuk Seri Khairul Khuzaini Zamsani berkata, Hopecard itu boleh digunakan ketika membeli di 222 kedai Hope Mart yang dibuka di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Katanya, kad itu disasarkan kepada golongan B40, mahasiswa dan suri rumah yang boleh dimohon semasa membeli barangan keperluan asas di Hope Mart. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka yang menggunakan Hopecard ini akan mendapat potongan harga antara tujuh hingga 10 peratus selain boleh menebus mata ganjaran terhadap barangan di dalam kedai tersebut. 

“Kita juga dalam perancangan mengaplikasikan mata ganjaran yang diperoleh dari kad itu untuk digunakan dalam membayar PTPTN,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah agensi berita Sabtu lalu yang mendakwa 800,000 kad harapan akan diagihkan kepada golongan mahasiswa bagi mengelakkan mereka ‘ikat perut’ akibat masalah kewangan ketika sedang menuntut.

Khairul Khuzaini turut menegaskan pelaksanaan Hopecard dan Hope Mart itu merupakan usaha DEUM bersama syarikat tempatan, HGV Holding Sdn. Bhd. dan Mega Envision Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat dari negara China. 

Ujarnya, kedai berkenaan akan dilancarkan Sabtu ini di sini oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli.

“Bagi fasa pertama, 70 premis kedai tersebut akan dilancarkan dalam tempoh tiga bulan pertama iaitu April hingga Jun ini. 

“Hope Mart ini dijangka dapat membantu pengusaha perusahaan kecil dan sederhana apabila 20 peratus produk mereka akan dijual di kedai itu.” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini